Sunday, July 20, 2008

Mengenali ahlus sunnah wal jamaah..utk renungan kita bersama


Manhaj dan Aqidah
[Kertas Kerja] - Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah
22 Nov 2007 Ust Dr Abdullah Yasin
Kertas Kerja
:
Ciri-ciri Utama Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah
Judul Asalnya
:
مجمل أصول أهل السّنّة والجماعة فى العقيدة
Pengarang
:
Dr. Nashir Bin Abdul Karim Al-‘Aql
Penterjemah
:
Muhammad Yusuf Harum MA
Disusun semula & disampaikan oleh:
Abdullah Bin Yasin

Mukaddimah - Pengenalan
Pasal I: Kaedah Dan Prinsip Dalam Pengambilan Dalil
Pasal II: Tauhid Dalam Pengetahuan Dan Keyakinan
Pasal III: Tauhid Dalam Penghambaan Dan Tujuan
Pasal IV: Konsep Iman Ahlus Sunnah Wal Jamaah
Pasal V: Al-Quran Dan Al-Kalam
Pasal VI: Qadar
Pasal VII: Jamaah Dan Imaamah
Pasal VIII: Ciri-ciri & Sifat Utama Ahlus Sunnah Wal Jamaah






Mukaddimah:

Akidah adalah landasan utama kehidupan manusia. Tanpa akidah yang sahih maka segala-galanya akan musnah dan hancur. Akidah hampir sama dengan pengertian idiologi. Tetapi idiologi adalah landasan pegangan manusia ciptaan manusia sendiri seperti Komunisma, Sosialisma dan lain-lain. Sedangkan Akidah pula ialah landasan pegangan dan perjuangan manusia yang datang langsung daripada Allah SWT.

Dan karena persoalan akidah menyangkut persoalan keyakinan, maka pembelajaran tentang akidah yang sahih mestilah berlandaskan wahyu iaitu samada nas-nas Al-Quran ataupun hadis-hadis Nabi (sallallahu alaihi wasalam) yang sahih. Keupayaan akal manusia sangat terbatas. Akal manusia bukan ukuran kebenaran yang hakiki. Olih itu faktor akal tidak dibenarkan terlalu banyak ambil bahagian dalam pembahasan akidah. Dan bukan saja akal semata, malahan hadis-hadis yang lemahpun (dha’if) tidak diperbolihkan untuk dijadikan landasan pembahasan akidah karena hadis dha’if hanya menghasilkan zann (sangkaan) bukan yakin.

Apakah yang dimaksudkan dengan Akidah? Mengapa kita mesti mengikuti akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah? Siapakah Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah yang sebenarnya? Apakah ciri-ciri khas golongan yang selamat ini? Diharapkan semoga kandungan kertas ringkas ini akan dapat menjawab persoalan tersebut.



Allah Menyuruh Berjamaa’ah (Bersatu) Dan Melarang Kita Daripada Perpecahan.

Allah memerintahkan agar kita bersatu-padu di atas kebenaran, dan melarang keras daripada perselisihan dan perpecahan sebagaimana pernah terjadi pada umat sebelumnya.

Firman Allah:

(1) Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan agama Allah dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali Imran: 103)

(2) Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat. (Ali Imran: 105)

(3) Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belahkan agamanya dan mereka (terpecah) menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap merreka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah (terserah) kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang mereka telah perbuat. (Al-An’aam: 159)


Imam Ibnu Katsir berkata: Firman Allah “Janganlah kamu berpecah-belah” mengandungi makna perintah agar kita bersatu-padu larangan agar kita jangan berpecah-belah. Sungguh banyak hadis yang menyatakan tentang pelarangan ini dan perintah agar kita bersatu-padu. Dan selanjutnya beliau berkata bahwa firman Allah:



وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ (٢٢) إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (٢٣) وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ (٢٤)
iaitu pada Hari Kiamat kelak akan berseri-seri wajah golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah, dan akan hitam legam wajah-wajah golongan bid’ah dan perpecahan (Ahlul Bid’ah Wal Firqah).

(Al-Qiyaamah: 22-24)


Makna Akidah:

Menurut bahasa (Etimology): Kata (عَقِيْدَةٌ) diambil daripada kata (عقد) yang artinya menyimpul atau mengikat. Orang Arab berkata (عقد الحَبْل) artinya dia mengikat tali. Jadi (عقد) artinya simpulan. Fitrah suatu simpulan biasanya kokoh dan kuat.


Menurut istilah agama pula: Akidah Islamiyah adalah lawan daripada Syari’ah. Iaitu: Apa yang dipercayai oleh setiap muslim, dan diyakininya dengan keyakinan yang mantap dan tanpa meragukan sedikitpun tentang perkara-perkara tertentu yang dikhabarkan olih Allah dan Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam).



Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah:

Ahlus Sunnah: Golongan yang berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam).

Al Jamaa’ah: Golongan yang bersepakat di atas kebenaran, tidak bercerai-berai dalam urusan agama, mereka berkumpul pada para imam yang benar (al-haq) dan mereka mengikuti apa yang telah menjadi kesepakatan para salaf.

Salaf: Generasi pertama daripada umat Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam). Mereka terdiri daripada para sahabat, tabi’iin dan para imam pembela kebenaran. Mereka adalah tiga generasi pertama yang mendapat kemuliaan. Karena itu siapa yang mengikuti jejak mereka pada masa sesudahnya disebut salafy.



Sabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam): Sebaik-baik manusia ialah (manusia yang hidup dalam) abadku, kemudian mereka yang mengikutinya, kemudian mereka yang mengikutinya.

[HR Bukhari dan Muslim]



Siapakah Sebenarnya Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah?

Baginda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:

(1) Maksudnya: Daripada ‘Auf Bin Malik, katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam): Telah berpecah Yahudi kepada 71 puak, maka hanya satu puak masuk syurga dan 70 puak ke neraka. Dan berpecah Nashrani kepada 72, maka 71 puak ke neraka dan satu puak ke syurga. Dan demi diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya akan berpecah umatku kepada 73 puak. Satu puak ke syurga dan 72 puak daripadanya ke neraka. Lalu baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) ditanya: Siapakah mereka wahai Rasulallah? Jawab baginda: Al Jamaa’ah.

[Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah, Al-Lalkaaiy, Ibnu Abi ‘Aashim]



(2) Maksudnya: Daripada Abdullah Bin ‘Amr, katanya: Telah berkata Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam): Sesungguhnya akan datang ke atas umatku apa yang pernah menimpa ke atas Bani Israil, sama betul keadaannya, sehingga sekiranya di antara mereka ada yang menyetubuhi ibunya, maka pada umatku juga akan ada yang berbuat demikian. Sesungguhnya Bani Israil telah berpuak-puak menjadi 72 puak, dan umatku pula akan berpuak-puak menjadi 73 puak. Semua mereka masuk neraka kecuali satu puak. Mereka (para sahabat) bertanya: Siapakah puak itu wahai Rasulallah? Baginda menjawab: (Mereka) yang mengikuti aku dan sahabat-sahabatku.

[Hadis Hasan Riwayat Tarmidzi, Al-Aajiry, Al-Lalkaaiy]



Kedua-dua jawapan Nabi (sallallahu alaihi wasalam) tentang siapakah puak yang selamat di atas, tidaklah bercanggah. Malahan di antara jawapan pertama dengan jawapan kedua saling jelas-menjelaskan. Seolah-olah jawapan pertama mengisyaratkan nama puak iaitu puak Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah. Sedangkan jawapan yang kedua adalah takrif puak tersebut iaitu mereka yang mengikuti akidah Nabi dan akidah para sahabatnya.


(kembali ke atas)




Pasal I: Kaedah Dan Prinsip
Dalam Pengambilan Dalil


(1) Sumber akidah adalah kitab Allah (Al-Quran), sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) yang sahih dan Ijma’ para salaf yang salih.

(2) Setiap sunnah yang sahih yang berasal dari Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) wajib diterima, sekalipun ahad (tidak mutawatir).

(3) Yang menjadi rujukan dalam memahami Al-Quran dan As-Sunnah ialah nash-nash (teks Al-Quran dan hadis) yang menjelaskannya, pemahaman para salaf, para imam yang mengikuti jejak mereka, serta dari sudut bahasa Arab.

(4) Prinsip-prinsip agama (Ushuluddin) semuanya telah dijelaskan olih Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Siapapun tidak berhak mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan agama, apalagi sampai mendakwa kononnya hal tersebut termasuk bahagian daripada agama.

(5) Berserah diri dan patuh hanya kepada Allah dan RasulNya secara lahir dan batin. Tidak menolak sedikitpun segala yang datang dari Al-Quran dan Sunnah yang sahih, samada dengan qias (analogi), dzauq (perasaan), kasyaf penyingkapan perkara ghaib), pandangan tuan guru (syekh) atau para imam dan lain-lain.

(6) Akal yang sejahtera akan sesuai dengan naqly (nash) yang sahih. Sesuatu yang qathi’e (pasti) daripada kedua-duanya tidak akan bertentangan. Sekiranya dirasakan seperti ada pertentangan antara keduanya maka dalil nakli (nash) hendaklah didahulukan daripada akal.

(7) Kita wajib senantiasa menggunakan bahasa agama dalam akidah dan menjauhi bahasa bid’ah.

(8) Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) adalah ma’shum (dipelihara Allah dari kesalahan), demikian juga umat Islam adalah ma’sumah daripada kesepakatan di atas kesesatan (dhalalah). Adapun secara perseorangan (indevidu) tidak ada di antara mereka yang ma’shum. Jika terdapat perbedaan pendapat di antara para Imam maka perkara tersebut mestilah dikembalikan kepada Al-Kitab dan As-Sunnah. Dan kita hendaklah bersangka baik dan bersedia memaafkan jika terdapat kekeliruan atau kesalahan di kalangan para mujtahidin.

(9) Ada di antara umat kita yang memperolihi ilham daripada Allah dan mimpi yang baik (ru’ya salihah). Ini benar dan termasuk salah satu bahagian daripada kenabian. Firasat yang baik adalah benar. Dan ini semua adalah karamah (kemuliaan daripada Allah dan suatu pertanda baik) dengan syarat tidak bertentangan dengan syari’at dan tidak pula menjadi sumber akidah maupun hukum.

(10) Berdebat untuk menimbulkan keraguan dalam agama adalah tercela. Tetapi berdebat dengan cara yang baik untuk mencari kebenaran adalah disyari’atkan. Perkara yang dilarang olih nash untuk mendalaminya wajib diterima dan wajib menahan diri daripadanya. Seorang muslim mestilah menyerahkan pengetahuan tersebut kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

(11) Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah mestilah senantiasa berpandukan manhaj (methode) wahyu dalam mereka menyampaikan sanggahan, dalam akidah dan dalam menjelaskan suatu masalah. Karena itu bid’ah tidak bolih dibalas dengan bid’ah pula, kekurangan (tafrith) dilawan dengan berlebih-lebihan (ghuluw), ataupun sebaliknya.

(12) Setiap perkara baru yang tidak ada sebelumnya dalam agama adalah bid’ah. Setiap bid’ah adalah kesesatan, dan setiap kesesatan dalam neraka.


(kembali ke atas)


Pasal II: Tauhid Dalam Pengetahuan Dan Keyakinan



(1) Prinsip dalam Al-Asmaa Was Sifaat (Nama-nama dan sifat-sifat Allah) adalah menetapkan (itsbat) apa yang ditetapkan olih Allah untuk dirinya atau apa yang ditetapkan olih Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) tanpa TAMTSIEL (mempersamakannya dengan makhluk) dan tanpa TAKYIEF (mempertanyakan bagaimana sifat Allah). Juga menolak (nafi) yang ditolak olih Allah daripada diriNya dan yang ditolak olih Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) tanpa TAHRIEF (mengobah lafaz atau menyelewengkan makna sifat Allah) dan tanpa TA’THIEL (mengingkari seluruh atau sebahagian sifat Allah). Hal ini dengan mengimani makna lafaz-lafaz yang dikandung olih nash. Sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah Ta’aala:



لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya: Tiada ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat .
(Asy-Syuura :11)



(2) TAMTSIEL dan TA’THIEL dalam asmaa dan sifat Allah adalah kufur. TAHRIEF yang disebut olih ahli bid’ah sebagai TAKWIEL, ada yang kufur hukumnya seperti takwiel orang-orang KEBATINAN. Ada yang bid’ah dan kesesatan seperti takwiel orang-orang yang tidak mengakui sifat-sifat Allah dan ada pula yang terjadi karena kekeliruan.

(3) Pahaman kesatuan wujud (Wihdatul Wujud = Pantheisme) atau kepercayaan bahwa Allah berada pada sesuatu makhlukNya atau Dia bersatu dengannya adalah perbuatan kufur yang menyebabkan seseorang keluar dari Islam.

(4) Iman kepada para malaikat secara umum. Adapun mengimani mereka secara terperinci (detail) adalah dengan mengimani segala apa yang telah dinyatakan olih dalil-dalil yang sahih, seperti nama-nama mereka, sifat-sifat mereka dan tugas-tugas mereka.

(5) Iman kepada seluruh kitab yang diturunkan olih Allah. Mengimani bahwa Al-Quran adalah kitab yang paling mulia daripada semua dan dia adalah pembatal (naasikh) semua kitab-kitab terdahulu. Kitab-kitab sebelum Al-Quran telah mengalami perobahan dan penyelewengan. Olih sebab itukita wajib mnegikuti Al-Quran dan tidak mengikuti kitab-kitab sebelumnya.

(6) Iman kepada para Nabi dan rasul Allah. Semoga Allah melimpahkan salawat dan salamNya ke atas mereka. Mereka adalah orang-orang yang paling mulia. Barangsiapa yang tidak memiliki keyakinan demikian maka dia termasuk kafir.

Segala yang dinyatakan olih nash yang sahih tentang mereka wajib diimani. Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) adalah Rasul yang paling mulia dan beliau adalah rasul terakhir dan diutus Allah untuk seluruh umat manusia.

(7) Mengimani bahwa wahyu telah terputus semenjak wafatnya Nabi Muhammad (sallalahu alaihi wasalam). Beliau adalah nabi dan rasul terakhir. Orang yang tidak berkeyakinan demikian adalah kafir.

(8) Iman kepada Hari Akhirat dan kejadian-kejadian yang ada di dalamnya menurut berita yang benar, juga beriman kepada tanda-tanda kiamat yang terjadi sebelumnya.

(9) Iman kepada taqdir yang baik dan yang buruk daripada Allah SWT iaitu dengan mengimani bahwa Allah SWT mengetahui apa yang akan terjadi sebelum terjadi. Allah telah menuliskanya di dalam Luh Mahfuz. Yang dikehendakiNya lah yang akan terjadi dan yang tidak dikehendakiNya tidak akan terjadi. Allah Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu, Pencipta segala sesuatu, Yang Maha Berbuat atas apa yang dikehendaki.

(10) Iman pada perkara-perkara ghaib yang telah dinyatakan olih dalil yang sahih seperti ‘arsy, surga, neraka, kenikmatan dan siksa kubur, jambatan dan timbangan tanpa takwiel sedikitpun.

(11) Mengimani adanya syafa’at Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) dan syafaat para Nabi, para Malaikat, orang-orang salih serta yang lain pada Hari Kiamat sebagaimana penjelasan terperincinya disebutkan dalam nash-nash yang sahih.

(12) Orang-orang yang beriman akan melihat Allah pada Hari Kiamat di surga dan di mahsyar. Barangsiapa mengingkari atau mentakwielkannya maka dia sesat dan menyimpang dari kebenaran. Namun tidak ada seorangpun yang dapat melihat Allah di dunia.

(13) Karamah para wali dan orang-orang salih benar-benar ada. Namun demikian, tidak setiap yang luar biasa adalah karamah. Bolih jadi itu adalah cobaan daripada Allah dan bolih jadi pula itu adalah pengaruh daripada syaitan dan orang-orang jahat. Yang menjadi ukuran dalam hal ini ialah apakah hal itu sesuai atau tidak dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

(14) Semua orang yang beriman adalah wali Allah. Dan derjat kewalian seseorang sangat bergantung kepada tingkatan keimanannya.


(kembali ke atas)


Pasal III: Tauhid Dalam Penghambaan Dan Tujuan
(Tauhid Uluhiyyah)


(1) Allah Ta’aala Maha Esa. Tidak ada seseorangpun yang menjadi sekutu bagiNya, samada dalam ciptaan dan kekuasaan, dalam penghambaan dan pengabdian kepadaNya, serta dalam asma dan sifatNya. Dial Rabb semesta alam. Hanya Dia sendiri yang berhak dengan segala macam ibadah.

(2) Mempersembahkan ibadah, seperti berdoa, meminta perlindungan, memohon pertolongan, bernazar, menyembelih korban, tawakkal, takut, berharap dan mencintai selain kepada Allah adalah perbuatan syirik, walaupun perbuatan tersebut ditujukan kepada para malaikat, para nabi atau hamba-hambaNya yang salih.

(3) Salah satu sendi utama ibadah kepada Allah ialah beribadah kepada Allah dengan penuh rasa cinta, penuh rasa takut dan penuh rasa harap. Beribadah kepada Allah dengan sebahagian daripadanya tanpa yang lain adalah kesesatan.


Salah seorang ulama mengatakan:

مَنْ عَبَدَ اللهَ بِالْحُبِّ وَحْدَهُ فَهُوَ زِنْدِيْقٌ، وَمَنَ عَبَدَ اللهَ بِالْخَوْفِ وَحْدَهُ فَهُوَ حَرُوْرِيٌّ وَمَنْ عَبَدَ اللهَ بِالرَّجَاءِ وَحْدَهُ فَهُوَ مُرْجِئٌ


Maksudnya: Barangsiapa yang beribadah kepada Allah hanya dengan rasa cinta maka dia seorang zindiq, barangsiapa yang beribadah kepada Allah hanya dengan rasa takut maka dia adalah seorang Harury, dan barangsiapa yang beribadah kepada Allah hanya dengan penuh harapan maka dia seorang Murji’.

ZINDIQ: Orang yang sesat dalam agama dan menyimpang daripada jalan yang benar.

HARURY: Haruriyyah ialah salah satu aliran di dalam mazhab Khawarij yang menyatakan bahwa pelaku dosa besar adalah kafir dan di akhirat kekal dalam neraka.

MURJI’: Murji’ah adalah suatu mazhab dalam akidah yang berkeyakinan bahwa amal tidak termasuk dalam bahagian iman dan iman tidak bertambah dan juga tidak berkurang. Mereka mengatakan bahwa suatu dosa tidak berbahaya selama ada iman, sebagaimana suatu ketaatan tidak berguna selama ada kekafiran.


(4) Patuh, tunduk dan taat secara mutlak kepada Allah dan rasulNya Muhammad (sallallahu alaihi wasalam). Iman kepada Allah sebagai Hakim termasuk iman kepadaNya sebagai Rabb dan Ilaah. Tidak ada sekutu bagiNya dalam hukum dan perintahNya. Penentuan hukum yang tidak diizinkan olih Allah, berhukum kepada taguht, mengikuti selain syari’at Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) dan merobah sesuatu daripadanya adalah kufur. Siapa yang mendakwa bahwa seseorang bolih keluar daripada syariatnya maka dia kafir.

TAGHUUT: Segala yang diperlakukan secara melampaui batas yang telah ditentukan olih Allah, misalnya dengan disembah, ditaati, dipatuhi.


(5) Menggunakan hukum yang bukan daripada Allah adalah kufur akbar, yang bolih menyebabkan seseorang keluar dari Islam, dan juga bolih termasuk kufur duna kufur yakni kufur yang tidak menyebabkan keluar dari Islam.

KUFUR AKBAR terjadi bila patuh dan tunduk kepada hukum selain Allah dan mendakwa bahwa hukum Allah tidak sesuai lagi untuk zaman ini.

KUFUR DUNA KUFUR bila tidak menggunakan hukum Allah dalam suatu kejadian tertentu karena menuruti hawa nafsu, tetapi secara umum ia masih tetap patuh kepada hukum Allah dan meyakini bahwa hukum Allah lah yang paling unggul.


(6) Pembahagian agama kepada HAKIKAT yang dikhususkan kepada orang-orang tertentu dan SYARI’AT yang hanya wajib diikuti olih orang-orang awam saja, serta melakukan pemisahan antara urusan politik atau urusan lainnya daripada agama adalah tindakan yang BATHIL (tidak benar). Apapun yang bertentangan dengan syari’at, samada hakikat ataupun politik ataupun perkara-perkara lain, maka hukumnya adalah bolih membawa kepada kufur dan bolih pula kepada kesesatan, sesuai dengan tingkatannya.

(7) Tidak ada seorangpun yang dapat mengetahui sesuatu yang ghaib selain daripada Allah SWT semata. Mempercayai ada seseorang selain daripada Allah yang dapat mengetahui hal-hal ghaib (secara mutlak) adalah perbuatan kufur. Mukmin beriman bahwa Allah SWT telah memberitahukan sebahagian daripada perkara ghaib kepada sebahagian rasulNya.

(8) Percaya kepada ahli nujum dan para dukun adalah kufur, sedangkan mendatangi dan pergi ke tempat mereka adalah dosa besar.

(9) WASILAH yang diperintahkan di dalam Al-Quran ialah apa yang mendekatkan seseorang kepada Allah SWT iaitu berupa amal ketaatan yang disyari’atkan. Adapun TAWASSUL ada tiga macam:

a. MASYRU’ iaitu tawassul kepada Allah SWT dengan asmaa dan sifatNya, dengan amal salih yang dikerjakannya, atau melalui doa orang salih yang masih hidup.

b. BID’AH iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara yang tidak disebutkan dalam syari’at, seperti tawassul dengan peribadi para nabi dan orang-orang salih, dengan kedudukan mereka, kehormatan mereka dan sebagainya.

c. SYIRIK iaitu bila menjadikan orang-orang yang sudah meninggal sebagai perantara beribadah, termasuk berdoa kepada mereka, meminta hajat dan memohon pertolongan kepada mereka.

TAWASSUL mendekatkan diri kepada Allah dengan cara-cara tertentu.


(10) Berkah berasal daripada Allah SWT. Namun Allah mengkhususkan sebahagian berkahNya kepada seseorang hamba atau sesuatu makhluk yang dikehendakiNya. Olih sebab itu, seseorang atau sesuatu makhluk tidak bolih dinyatakan mempunyai berkah kecuali berdasarkan dengan dalil.

BERKAH artinya kebaikan yang banyak atau kebaikan yang tetap dan tidak hilang. Waktu-waktu yangmengandungi keberkatan seperti Lailatul Qadr. Adapun tempat yang ada berkatnya seperti masjid Al-Haram, An-Nabawy, Al-Aqsha. Benda yang ada berkatnya seperti air Zam-zam. Amal yang ada berkatnya adalah setiap amal salih. Peribadi yang diberkati seperti Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam).

Kita tidak bolih meminta berkat kepada manusia dan peninggalan mereka, kecuali kepada peribadi dan peninggalan Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) karena ada dalil yang menyatakan demikian. Namun hal ini tidak berlaku lagi setelah wafatnya dan hilangnya barang peninggalan beliau.


(11) TABARRUK (meminta berkat) termasuk ke dalam perkara TUWQIFIYYAH (perkara yang sudah ditetapkan olih agama). Olih sebab itu kita tidak dibolihkan tabarruk kepada sesuatu kecuali pada hal yang telah dinyatakan olih dalil.

(12) Mengenal perbuatan yang dilakukan orang di kuburan dan ketika ziarah kubur ada tiga macam:

a. MASYRUU’: iaitu ziarah kubur dengan tujuan untuk mengingat akhirat, untuk memberikan salam kepada ahli kubur dan mendoakan mereka.

b. BID’AH: iaitu jika ziarah tersebut dapat merosak kesempurnaan tauhid seseorang. Perbuatan tersebut bolih membawa seseorang kepada perbuatan syirik, misalnya: ziarah ke kuburan dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah dan mendekatkan diri kepadaNya, atau bertujuan untuk mendapat berkat, menghadiahkan pahala bacaan kepada ahli kubur, membuat bangunan di atas kuburan, mengecatnya dan memberinya lampu penerang. Juga termasuk perbuatan bid’ah bila menjadikan kuburan sebagai tempat ibadat dan sengaja berpergian jauh untuk mengunjunginya. Masih banyak perbuatan lain yang dinyatakan telah terlarang dan tidak mempunyai dasar hukum dalam syari’at.

c. SYIRIK: iaitu ziarah yang bertentangan dengan tauhid. Misalnya; mempersembahkan salah satu macam ibadah kepada ahli kubur, seperti berdoa kepadanyasebagaimana layaknya kepada Allah, meminta bantuan dan pertolongannya, bertawaf di sekelilingnya, menyembelih kurban dan bernazar untuknya dan lain sebagainya.


(13) Sesuatu yang menjadi WASAAIL (jalan) dihukumkan berdasarkan tujuan dan sasaran. Setiap sesuatu yang menjadi sarana (jalan) kepada syirik dalam ibadah kepada Allah atau menjadi sarana menuju bid’ah maka wajib dihentikan dan dilarang. Setiap perkara baru (yang tidak ada dasarnya) dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah kesesatan (dhalalah).


(kembali ke atas)



Pasal IV: Konsep Iman Ahlus Sunnah Wal Jamaah



(1) IMAN adalah ucapan dan perbuatan, bolih bertambah dan bolih berkurang. Artinya: Iman adalah adalah ucapan hati dan lisan, serta perbuatan hati, lisan dan anggota badan. Adapun ucapan hati ialah keyakinannya dan tashdiqnya (membenarkan) ucapan lisan pula ialah ikrarnya (pernyataan); amal hati ialah penyerahannya dan keikhlasannya, ketaatannya, kecintaannya dan keinginannya kepada segala amal salih. Adapun perbuatan anggota badan iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan.

(2) Barangsiapa yang menyatakan bahwa amal perbuatan tidak termasuk iman maka dia adalah seorang MURJI’. Barangsiapa yang memasukkan ke dalam iman sesuatu yang tidak termasuk di dalamnya maka dia adalah seorang MUBTADI’ (orang yang melakukan bid’ah).

(3) Barangsiapa tidak bersedia mengucapkan dua kalimah syahdat maka dia tidak berhak memperolih sebutan sebagai orang yang beriman. Dia juga tidak dihukumkan sebagai orang yang beriman, samada di dunia maupun di akhirat.

(4) Islam dan IMAN adalah dua sebutan dalam agama. Di antara kedua-duanya terdapat pengertian umum dan pengertian khusus. AHLUL KIBLAH disebut sebagai kaum muslimin.

AHLUL KIBLAH: adalah orang yang mengaku beragama Islam, melakukan salat seperti kaum muslimin, menghadap kiblat dan memakan sembelihan mereka, walaupun termasuk orang yang menuruti hawa nafsunya atau berbuat dosa, selama mereka tidak mendustakan ajaran yang dibawa olih Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam).


(5) Orang yang melakukan dosa besar tidak keluar dari keimanannya. Di dunia dia tetap beriman tetapi kurang imannya, sedangkan diakhirat dia berada di bawah MASYI-AH allah, artinya: bila Allah menghendaki, dia akan diampuni dan bila Dia menghendaki sebaliknya maka dia akan disiksa sesuai dengan keadilanNya. Orang-orang yang mempunyai tauhid tempat kembalinya adalah surga. Sekalipun ada di antara mereka yang disiksa terlebih dahulu tetapi tidak ada seorangpun dari mereka yang kekal di dalam neraka.

(6) Tidak bolih menyatakan dengan pasti bahwa si polan termasuk ahli surga atau neraka, kecuali terhadap seseorang yang telah dinyatakan oleh nash.

(7) KUFUR dalam bahasa agama ada dua macam. Pertama KUFUR AKBAR iaitu kufur yang menyebabkan seseorang keluar dari agama Islam. Kedua KUFUR ASGHAR iaitu kufur yang tidak menyebabkan seseorang keluar dari agama Islam. Kufur kedua ini dinamakan juga dengan KUFUR AMALY.

(8) TAKFIER (mengafirkan seseorang) adalah termasuk sebahagian daripada hukum agama yang ukurannya mestilah dikembalikan kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi (sallallahu alaihi wasalam). Karena itu kita tidak bolih mengafirkan seseorang muslim karena suatu ucapan atau perbuatan bila tidak ada dalil syar’i yang menyatakan demikian. Suatu ucapan atau perbuatan yang dinyatakan sebagai kafir tidak mesti pelakunya pun menjadi kafir, kecuali bila syarat-syaratnya terpenuhi dan tidak ada hal-hal yang menghalanginya. Takfier termasuk hukum yang paling berbahaya. Karena itu kita mestilah berhati-hati dan waspada dalam mentakfirkan seorang muslim.


(kembali ke atas)


Pasal V: Al-Quran Dan Al-Kalam


(1) Al-Quran, samada lafaz maupun makna adalah kalam Allah yang diturunkanNya. Al-Quran bukan makhluk. Al-Quran hanya berasal daripada Allah dan akan kembali kepadaNya. Al-Quran adalah MU’JIZAT yang menunjukkan kebenaran nabi yang membawanya. Keasliannya akan tetap dijaga olih Allah sampai Hari Kiamat.

(2) Allah SWT berfirman menurut apa yang Dia kehendaki, bila Dia menghendaki dan dengan cara yang Dia kehendaki. Firman Allah SWT adalah benar-benar (hakiki), dengan lafaz dan suara. Adapun bagaimana firmanNya kita tidak dapat mengetahuinya, dan kita tidak akan melampaui batas dalam membicarakannya.

(3) Pendapat yang mengatakan bahwa kalam Allah adalah makna kejiwaan (ma’na nafsy), atau Al-Quran itu hikayat (cerita) atau ‘ibarah (terjemahan) daripada kalam Allah, atau Al-Quran itu adalah majaz (kiasan), maka orang yang menyatakan demikian telah sesat dan menyimpang. Hal itu bahkan bolih menjadikannya kafir.

(4) Al-Quran wajib ditafsirkan menurut cara yang telah dikenal dalam metode salaf. Al-Quran tidak bolih ditafsirkan dengan hanya menggunakan akal saja. Hal ini termasuk ke dalam bab memperkatakan tentang Allah tanpa dasar ilmu. Dan mentakwilkan Al-Quran dengan cara seperti pentakwilan kebatinan adalah kufur.


(kembali ke atas)

Pasal VI: Qadar


(1) Termasuk rukun iman ialah iman kepada QADAR (TAQDIR), yang baik maupun yang buruk adalah daripada Allah SWT. Iman kepada qadar meliputi iman kepada setiap nash tentang qadar serta tingkatannya (diketahui, ditulis, dikehendaki dan diciptakan olih Allah). Tidak ada seorangpun yang dapat menolak ketetapanNya atau yang dapat membatalkan keputusannya.

(2) Iradah (kehendak) dan amr (perintah) yang tercantum dalam Al-Quran dan sunnah ada dua macam:

a. IRADAH KAUNIYYAH QADARIYAH, yang pengertiannya sama dengan MASYI-AH, dan AMR KAUNY QADARY.

b. IRADAH SYAR’IYAH yang berarti disenangi dan dicintai olih Allah, dan AMR SYAR’IY.

Makhluk mempunyai keinginan dan kehendak, tetapi keinginan dan kehendaknya itu mengikut keinginan dan kehendak Al-Khaliq.


(3) Petunjuk dan kesesatan makhluk ada di tangan Allah. Di antara makhluk ada yang diberi Allah petunjuk karena rahmat kurniaNya, dan ada pula yang tersesat karena keadilanNya.

(4) Makhluk dengan segala tingkah lakunya adalah ciptaan Allah SWT. Hanya Dia lah Yang Maha Pencipta. Allah lah yang menciptakan tingkah laku dan perbuatan makhluk.

(5) Menetapkan bahwa segala sesuatu yang diperbuat olih Allah ada hikmahnya dan segala usaha akan membawa hasil atas kehendak Allah Ta’aala.

(6) Ajal telah ditulis, rezki telah dibagi dan kebahagiaan serta kesengsaraan telah ditetapkan olihNya untuk seluruh umat manusia sebelum mereka diciptakan.

(7) Berdalih dengan taqdir bolih dilakukan terhadap musibah dan cobaan, namun dosa dan kesalahan tidak bolih berdalihkan dengan taqdir tetapi mestilah bertaubat dan pelakunya berhak mendapat celaan.

(8) Bersandar kepada usaha saja adalah syirik dalam tauhid, sedangkan meninggalkan usaha sama sekali berarti menolak ajaran agama. Menyatakan bahwa usaha tidak ada pengaruh dan hasilnya bertentangan dengan ajaran agama dan akal. Tawakkal tidak berarti meninggalkan usaha.


(kembali ke atas)
Pasal VII: Jamaah Dan Imaamah


(1) JAMAA’AH dalam masalah ini ialah sahabat nabi (sallallahu alaihi wasalam) dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik dan berpegang teguh dengan jejak mereka sampai hari kiamat. Merekalah yang dimaksudkan dengan AL-FIRQAH AN-NAJIYAH (golongan yang selamat).

Orang yang senantiasa ILTIZAM (komitmen) dengan manhaj (metode) mereka, maka dia termasuk dalam jamaa’ah, sekalipun melakukan kesalahan dalam sebahagian masalah cabang.


(2) Tidak bolih berselisih dalam agama, juga tidak bolih memfitnah sesama kaum muslimin. Segala masalah mengandung perbedaan pendapat di antara umat Islam wajib dikembalikan kepada Kitabullah, Sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) dan Ijma’ (kesepakatan) para SALAF SALIH.

(3) Orang yang keluar daripada Jamaa’ah wajib diberi nasihat. Kita wajib menyampaikan dakwah kepadanya. Dia hendaklah diajak berdiskusi dengan cara yang baik dan menjelaskan HUJJAH (argumentasi) kepadanya. Apabila dia tidak mau bertobat maka dia dikenakan hukuman yang layak sesuai dengan ketentuan agama.

(4) Kita wajib membawa umat Islam kepada perkara-perkara yang telah TSABIT (pasti) dari Al-Quran, dan Sunnah, dan Ijma’. Kita tidak bolih membawa orang-orang awam daripada kaum muslimin dengan perkara-perkara yang pelik dan pengertian yang mendalam.

(5) Pada dasarnya seluruh umat Islam mempunyai keyakinan dan tujuan yang baik sehingga tampak sesuatu yang bertentangan dengan hal tersebut. Pada dasarnya ucapan mereka pun mestilah dipahami dengan pemahaman yang baik. Tetapi jika jelas kedegilaan dan tujuan jahatnya maka kita tidak bolih melakukan penafsiran yang dibuat untuk membela dirinya.

(6) Golongan lain dari AHLUL KIBLAH yang menyimpang dari Sunnah berhak mendapat ancaman siksaan dan neraka. Hukum mereka adalah sebagaimana hukum orang-orang yang berhak mendapat ancaman pada umumnya, kecuali jika ada di antara mereka yang kafir dalam batinnya. Golongan yang keluar dari Islam secara menyeluruh adalah kafir, dan hukuman bagi mereka adalah hukum bagi orang-orang murtad.

(7) Salat Jum’at dan Jamaa’ah termasuk syiar Islam yang terpenting dan tampak. Dan salat bermakmum kepada seorang muslim yang tidak diketahui hal ihwalnya adalah sah, sedangkan tidak bermakmum kepadanya dengan dalih tidak mengetahui hal ihwalnya adalah BID’AH.

(8) Tidak bolih salat bermakmum di belakang orang-orang yang nyata-nyata berbuat bid’ah dan kefasikan, selama bolih bermakmum kepada yang lain. Akan tetapi jika hal itu terjadi maka salatnya sah dan berdosa orang yang melakukannya, kecuali jika tujuannya adalah untuk menghindarkan NAFSADAH (bahaya) yang lebih besar. Andaikata tidak ada orang lain kecuali dia atau ada yang lebih jahat lagi, maka bolih salat bermakmum kepadanya dan kita tidak bolih meninggalkannya. Barangsiapa yang dihukumkan kafir maka tidak sah salat bermakmum kepadanya.

(9) IMAMAH KUBRA (khalifah) terjadi dan berlaku atas kesepakatan umat atau merupakan bai’at daripada wakil-wakil umat yang disebut AHLUL HALL WAL ‘AQD. Barangsiapa memperolih kemenangan sehingga terjadilah kesepakatan terhadap dirinya, maka dia wajib ditaati dengan baik, wajib dibela dan kita tidak bolih keluar daripada kepimpinannya, kecuali jika dia secara terang-terangan menampakkan kekafiran dan dapat terbukti dari nash yang jelas daripada Allah.

AHLUL HALL WAL ‘AQD adalah dewan yang mewakili kaum muslimin yang berhak mengeluarkan keputusan yang tidak menyimpang daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam).


(10) Shalat, haji dan jihad wajib dilakukan bersama imam kaum muslimin meskipun dia seorang yang zalim.

(11) Tidak bolih berperang dengan sesama muslim karena suatu kepentingan duniawy dan fanatisme jahiliyyah (adat kebiasaan atau pandangan yang bertentangan dengan Islam). Ini adalah dosa yang sangat besar. Tetapi kaum muslimin dibolihkan memerangi ahli bid’ah, para pemberontak dan sejenisnya bila mereka tidak dapat dicegah dengan cara lain yang lebih kecil resikonya. Dan kadang-kadang hukumnya bolih menjadi wajib dengan maslahat dan kondisinya.

(12) Para sahabat yang mulia semuanya terpercaya. Mereka adalah generasi yang terbaik dari umat ini. Mempersaksikan keimanan dan keutamaan mereka adalah prinsip asasi yang tidak dapat ditawar lagi dalam agama. Mencintai mereka adalah agama dan keimanan, sedangkan membenci mereka adalah kekafiran dan kemunafikan. Hendaklah kita menahan diri untuk membicarakan pertentangan yang pernah terjadi di antara mereka. Jangan memperdebatkannya sehingga bolih mengurangi dan memburuk-burukkan kehormatan mereka.

Yang paling mulia di antara mereka adalah Abu Bakar, kemudian Omar, Otsman dan Ali. Mereka adalah AL-KHULAFA AR-RASYIDIN (para pemimpin yang berjalan di atas kebenaran). Khilafah (kepimpinan) mereka terjadi berdasarkan urutan (tingkat kemuliaan) mereka.


(13) Adalah termasuk urusan agama mencintai AHLUL BAIT Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) serta menghargai kehormatan isteri-isteri beliau sebagai ibu-ibu orang-orang yang beriman.Juga termasuk agama mengetahui keutamaan mereka, begitu pula dengan mencintai para imam salaf, ulama sunnah dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka dengan baik serta menjauhi ahli bid’ah dan orang-orang yang menuruti hawa nafsu.

AHLUL BAIT artinya keluarga. Ahlul Bait Rasulullah ialah mereka yang diharamkan menerima sadaqah. Mereka itu sebagaimana disebutkan dalam salah satu hadis riwayat Muslim, yakni keturunan Ali, Aqil, Ja’far dan Abbas.


(14) JIHAD FII SABILILLAH (berjuang di jalan Allah) adalah puncak kemegahan dan kejayaan Islam, dan ini tetap berlaku sampai hari Kiamat.

(15) AMAR MA’RUF dan NAHI MUNKAR (menyeru pada kebaikan dan melarang kemungkaran) termasuk syiar Islam yang sangat penting dan merupakan faktor pemelihara keutuhan Islam. Kedua perkara ini wajib dilaksanakan menurut kemampuan, tetapi dalam hal ini maslahat pun menjadi bahan pertimbangan.


(kembali ke atas)


Pasal VIII: Ciri-ciri Khusus Dan Sifat Utama
Ahlus Sunnah Wal Jamaa’ah


AHLUS SUNNAH WAL JAMAA’AH adalah golongan yang selamat dan kelompok yang dimenangkan olih Allah SWT. Sekalipun ada perbedaan tingkat di antara mereka namun mereka mempunyai ciri-ciri khusus dan sifat-sifat utama yang membuat mereka berbeda dari golongan yang lain. Antaranya:


(1) Memberikan kepada Kitab Allah dalam bentuk hafalan, bacaan dan tafsiran. Di samping itu juga memberi perhatian kepada hadis dalam bentuk pengertian, pemahaman dan pemilihan yang sahih daripada yang dha’if. Ini disebabkan karena keduanya merupakan sumber utama pengambilan, dan dengan disertai pengamalan terhadap ilmu yang telah diperolihi.

(2) Masuk ke dalam Islam secara menyeluruh, dan beriman kepada seluruh kandungan Kitabullah, iaitu mengimani seluruh nash yang berkenaan dengan janji (wa’d) maupun ancaman Allah (wa’iid). Nash yang berkenaan dengan penetapan (itsbat) asma dan sifat Allah maupun yang berkenaan dengan penolakan (tanziih) hal-hal yang tidak layak bagiNya. Mengimani takdir Allah serta menetapkan bahwa makhluk mempunyai keinginan dan kehendak dan dialah yang berbuat, sebagaimana mereka memadukan antara ilmu dengan ibadah, kekuatan dengan sifat kasih sayang, di samping itu juga mau berusaha dan bekerja tetapi tetap sederhana.

(3) Mengikuti sunnah, meninggalkan bid’ah dan menjauhkan diri daripada perpecahan serta perselisihan dalam agama.

(4) Mencontoh dan mengikuti jejak para tokoh kebenaran yang dapat dipercaya. Yang dicontoh adalah suri tauladannya dalam ilmu, amal dan dakwah. Para tokoh kebenaran itu adalah para sahabat serta orang-orang yang mengikuti manhajnya. Di samping itu juga menjauhi orang-orang yang menyalahi jalan mereka.

(5) Mengambil jalan tengah (tawashshuth), samada dalam pemahaman akidah maupun dalam amal serta tindak tanduk. Berada di antara golongan yang berlebihan dan golongan yang melalaikan, berada di antara orang-orang yang melampaui batas dan orang-orang yang bermalas-malas.

(6) Senantiasa menjaga kesatuan umat Islam di atas AL-HAQQ (kebenaran) dan mempersatukan barisan mereka di atas panji TAUHID dan ITTIBA’ (mengikut sunnah). Di samping itu juga menjauhkan setiap faktor yang dapat menyebabkan pertentangan dan perselisihan di antara umat.

Atas dasar itu, maka mereka tidak memiliki ciri-ciri khusus atas umat dalam prinsip-prinsip agama kecuali dengan sebutan SUNNAH WAL JAMAA’AH. Mereka tidak memihak serta tidak memusuhi sesiapapun melainkan atas ikatan ISLAM dan SUNNAH.


(7) Berdakwah kepada Allah, amar ma’ruf nahi munkar, jihad dan menghidupkan sunnah, berusaha untuk TAJDID agama serta menegakkan syari’at dan hukum Allah dalam segala urusan yang kecil maupun yang besar.

TAJDID iaitu pembaharuan tentang dan pengamalan Islam dengan cara kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah secara murni dan konsekwen.


(8) Bersikap adil dan bijaksana dan senantiasa memperhatikan hak Allah, bukan hak peribadi atau golongan. Olih karena itu mereka tidak bersikap berlebih-lebihan terhadap orang yang memihak dan tidak pula berlaku zalim terhadap orang yang memusuhinya. Mereka tidak mengingkari kebaikan yang datang dari siapa saja.

(9) Kesatuan dalam pemahaman dan kesamaan dalam pandangan, sekalipun berjauhan tempat dan berbeda zaman. Inilah salah satu hasil dari kesatuan sumber dan pengambilan.

(10) Berbuat baik, berkasih sayang dan sopan santun terhadap seluruh umat manusia.

(11) Ikhlas dan setia kepada Allah SWT, Kitabullah, Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam), pemimpin umat Islam dan seluruh kaum muslimin.

(12) Memperhatikan urusan umat Islam, membela kepentingannya dan melaksanakan hak-haknya. Mereka tidak melakukan tindakan yang menyakiti umatnya.

(kembali ke atas)
[ kembali ]
©2003-2008 Hakcipta Terpelihara - Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia

No comments: